Ilustrasi: Diet (infonutrisi.com) |
Terdapat banyak jenis diet atau formula makanan untuk kesihatan, penyembuhan atau untuk menguruskan badan. Beberapa jenis diet untuk kesihatan dan penyembuhan diterangkan selanjutnya di sini. Diet untuk menguruskan badan tidak diterangkan kerana ia perlu diamalkan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kesan sampingan yang mungkin mengancam kesihatan. Makan satu jenis makanan sahaja atau satu kumpulan makanan sahaja untuk menguruskan badan boleh menimbulkan banyak jenis risiko kepada kesihatan. Kita perlu membekalkan semua jenis nutrien yang diperlukan oleh tubuh untuk mengelakkan masalah nutrisi tidak seimbang. Bukan semua jenis diet diberikan di sini, tetapi apa yang diterangkan seterusnya ini telah dipilih kerana memberi tumpuan kepada kepentingan sayuran, buah-buahan, dan karbohidrat yang kompleks. Sayuran dan makanan lain yang berasal daripada tumbuhan sangat penting untuk kesihatan dan penyembuhan bagi diet-diet yang dipilih.
DIET VEGETARIAN
Makanan diperoleh dari alam tumbuhan dan juga produk berasaskan susu dan telur. Kajian menunjukkan diet jenis ini boleh mengurangkan risiko kanser kolon, diabetes, penyakit pundi, masalah pundi hempedu, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, dan osteoporosis.
DIET VEGAN
Semua makanan hanya diperoleh dari alam tumbuhan. Tidak ada langsung makanan dari alam haiwan, termasuk susu, telur atau madu lebah digunakan sebagai makanan. Diet jenis ini diamalkan untuk merawat atau mengurangkan risiko angina, asma, tekanan darah tinggi, dan artritis reumatoid, tetapi diet ini boleh menimbulkan masalah kekurangan vitamin B.
DIET MAKANAN MENTAH
Diet ini mengandungi 70 peratus buah-buahan dan sayuran mentah serta 30 peratus bijirin, kekacang, produk susu, dan daging. Diet ini di katakan baik untuk sistem penghadaman dan kesihatan seumur hidup.
DIET MEDITERRANEAN CRETAN
Diet ini mempunyai banyak makanan daripada sumber tumbuhan seperti sayuran, buah-buahan, bijirin, kekacang, nat, bawang putih, dan minyak zaitun. Pengambilan dalam amaun yang sederhana bagi ikan, ayam, dadih, wain merah; sedikit sahaja keju, telur, minyak tepu, gula, dan daging merah. Penggunaan minyak zaitun bagi menurunkan tahap kolesterol. Ikan berminyak pula mengandungi pelbagai asid lemak yang penting. Satu kajian melaporkan bahawa diet ini mengurangkan serangan jantung kali kedua sebanyak 70 peratus.
DIET PENYAHTOKSIK
Diet yang mengandung buah-buahan, sayuran mentah, air, dan dadih yang digunakan untuk menyahkan toksik yang telah diserap dari alam sekeliling, toksik daripada penghadaman yang lemah, toksik yang tidak dapat disingkirkan bersama najis. Diet ini digunakan untuk melegakan masalah alahan, artritis, kanser, sakit kepala, masalah hormon, dan pernafasan.